NIBONG TEBAL: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan tindakan pihak tidak bertanggungjawab melepaskan air larut resapan dari kolam takungan  Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung  sehingga mencemarkan laut.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata kejadian pelepasan air larut resapan itu disedari penduduk petang semalam yang kemudiannya membuat aduan kepada JAS.

Susulan aduan itu, beliau berkata, pihaknya melakukan siasatan di tapak pelupusan sampah tersebut dan menemui kewujudan aliran air berwarna hitam memasuki kawasan paya bakau bersebelahan dan seterusnya ke laut.

"Hasil siasatan mendapati terdapat beberapa batang paip telah dipasang oleh pihak tertentu  bagi tujuan menyalurkan sisa air larut resap  (leachate) ke dalam kawasan rizab paya bakau.

“Pelepasan air larut resapan ini kemungkinan  dibuat  secara sengaja dan dirancang lebih awal kerana batang-batang paip telah dibawa masuk, dipasang dan dikambuskan selepas perbuatan mereka dilaporkan kepada JAS.

“Pihak kita akan mengeluarkan satu Notis Arahan kepada pemilik tapak iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk meningkatkan pemantauan keselamatan serta kawalan pencemaran di tapak" katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Sharifah Zakiah,  JAS telah membuat pemeriksaan fizikal di tapak termasuk menggunakan dron selain mengambil sampel untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Rakaman percakapan daripada  beberapa orang saksi  turut diambil, katanya.

"Satu laporan polis juga telah  dibuat di Balai Polis Nibong Tebal  untuk siasatan pihak polis  sama ada terdapat unsur khianat oleh pihak tertentu  dalam kejadian ini," katanya.

Sharifah Zakiah berkata, JAS memandang serius isu pencemaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah terbabit memandangkan beberapa insiden kebakaran sebelum ini telah menjejaskan masyarakat sekitar.

Menurutnya, mana-mana premis yang tertakluk di bawah Perintah EIA (laporan penilaian impak alam sekitar) dan  didapati gagal mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974  boleh dikenakan Arahan Berhenti Kerja.